KUANTAN – Lebih banyak stesen minyak mini akan dibuka dan ditambah secara berperingkat di kawasan pedalaman khususnya kawasan Felda.
Inisiatif ini dilaksanakan syarikat pembekal minyak dan diesel, Smart Stream Resources Sdn Bhd (Smart Stream) yang turut menjalinkan kerjasama dengan Petronas.
Pengarah Urusannya, Mohd Khairuddin Saimon berkata, penambahan jumlah stesen minyak mini itu adalah antara pelan jangka panjang syarikat berkenaan dalam mengukuhkan lagi jenama Smart Stream dalam kalangan masyarakat luar bandar.
Pada majlis itu, Smart Stream mengadakan program isian minyak percuma kepada pemilik motosikal di kawasan berkenaan sebagai sebahagian daripada program tanggungjawab sosial korporat (CSR) syarikat terbabit sempena bulan Ramadan.
Sementara itu, mengulas mengenai kerjasama dengan Petronas, Mohd Khairuddin berkata, kerjasama yang dilakukan sejak Disember lalu bagi memastikan kestabilan bekalan petrol dan diesel untuk melancarkan operasi stesen minyak mini dikendalikan pihaknya.
“Kerjasama ini juga adalah untuk memantapkan lagi jenama kami dan kita sedang melakukan penjenamaan semula Smart Stream secara berperingkat, termasuk melengkapkan stesen kami dengan sistem yang membolehkan pelanggan menggunakan Kad Mesra Petronad apabila berurusan di stesen kami.
“Dengan cara ini kita dapat memberi kemudahan pemegang kad Mesra yang dapat menambah mata mereka jika mereka mengisi minyak di Smart Stream
“Selain itu, kita juga akan meningkatkan lagi kemudahan di semua stesen kendalian Smart Stream bagi memberikan keselesaan kepada pengguna,” katanya.
Sumber dari – SINAR HARIAN