SMART STREAM RESOURCES SDN BHD

KUANTAN: Lebih banyak stesen minyak mini akan dibuka secara berperingkat di kawasan pedalaman, terutamanya kawasan FELDA seluruh negara.

Inisiatif ini dilaksanakan syarikat pembekal minyak dan diesel, Smart Stream Resources Sdn Bhd (Smart Stream) yang turut menjalinkan kerjasama dengan PETRONAS.

Pengarah Urusannya, Mohd Khairuddin Saimon, berkata penambahan jumlah stesen minyak mini itu adalah antara pelan jangka panjang syarikat berkenaan dalam mengukuhkan lagi jenama Smart Stream di kalangan masyarakat luar bandar.

“Buat masa ini kita sudah mengendalikan 75 stesen minyak mini dan hari ini (semalam) kita memulakan operasi secara rasmi satu lagi (stesen minyak mini) di FELDA Sungai Panching Selatan menjadikan ia stesen ke 76 dimiliki Smart Stream di seluruh negara dan stesen ke 27 di Pahang.

“Untuk pelan jangka panjang, kita mensasarkan 100 stesen minyak mini dibuka dan diuruskan Smart Stream di seluruh negara menjelang hujung tahun depan,” katanya ketika ditemui pada Majlis Pelancaran Stesen Minyak Mini Smart Stream di FELDA Sungai Panching Selatan, dekat sini, semalam.

Yang turut hadir Ketua Pegawai Penguatkuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Pahang, Mohd Suffian Mohd Abass.

Pada majlis itu, Smart Stream mengadakan program isian minyak percuma kepada pemilik motosikal di kawasan berkenaan sebagai sebahagian daripada program tanggungjawab sosial korporat (CSR) syarikat terbabit sempena bulan Ramadan.

Sementara itu, mengulas mengenai kerjasama dengan PETRONAS, Mohd Khairuddin berkata, pihaknya mula menjalinkan kerjasama strategik dengan syarikat petroleum negara itu sejak Disember lalu bagi memastikan kestabilan bekalan petrol dan diesel untuk melancarkan operasi stesen minyak mini dikendalikan pihaknya.

“Kerjasama ini juga adalah untuk memantapkan lagi jenama kami dan kita sedang melakukan penjenamaan semula Smart Stream secara berperingkat, termasuk melengkapkan stesen dengan sistem yang membolehkan pelanggan menggunakan Kad Mesra PETRONAS apabila berurusan di stesen,” katanya.

Sumber dari – BERITA HARIAN