Sektor Koperasi Perlu Utamakan Kualiti Berbanding Bilangan Ahli

KUCHING: Peningkatan bilangan koperasi di seluruh negara ini perlu diseimbangkan dengan penekanan terhadap kualiti koperasi yang mampu memberi manfaat serta relevan kepada ahlinya.

Sehubungan itu, Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Datuk Hamzah Zainuddin, mengingatkan sudah tiba masanya bagi koperasi berganjak daripada status entiti kelas kedua dan sebaliknya menyumbang kepada pembangunan sosioekonomi negara.

“Pergerakan ini harus lebih kreatif, inovatif serta berani menceburi perniagaan besar, mengetengahkan produk dan perkhidmatan baharu yang menepati jangkaan masyarakat,” katanya.

Beliau berkata demikian pada majlis Hari Koperasi Negara di sini, hari ini.

Acara yang pertama kali diadakan di luar Semenanjung itu, dirasmikan oleh Ketua Menteri, Tan Sri Adenan Satem.

Hamzah berkata, pergerakan koperasi turut mencatatkan pertumbuhan yang amat positif.

“Setakat akhir tahun lalu, kita mempunyai kira-kira 11,971 koperasi berdaftar dengan seramai 7.41 juta ahli di seluruh negara.

“Nilai gabungan modal mereka adalah RM13.47 bilion dengan asetnya sebanyak RM116.78 bilion dan pendapatan RM34.95 bilion,” katanya.

Malah, setakat Mei lalu, bilangan koperasi itu turut meningkat kepada 12,404.

Selain itu, Hamzah berkata kementerian itu juga secara prinsipnya bersetuju untuk memperkenalkan stesen minyak mini di bawah jenama SMART di kawasan pedalaman Sarawak.

“Ia adalah program usaha sama antara Suruhanjaya Koperasi Malaysia dan Smart Stream Resources Sdn.Bhd.

“Mana-mana stesen lama akan diperbaiki dan diberi sentuhan moden. Selain menjual petrol, stesen baharu itu turut berperanan sebagai premis runcit mini, pusat sehenti bagi pembayaran bil dan ada yang turut dilengkapi kemudahan mesin pengeluaran wang automatik (ATM),” katanya.

– BERNAMA

https://www.bharian.com.my/node/74956

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *